MENCARI DIRIKU oleh Maryani Zailani

Cerita ini pernah saya naikkan di:
https://rainyroserm.wordpress.com/cerpen/

Aku hanya mampu tersenyum oleh Maryani Zailani
Aku hanya mampu tersenyum 


Prolog

"Bagaimana jika engkau terperangkap dalam lingkungan waktu tertentu dan tiada jalan keluar?"

Waktu…ya, aku masih berada dalam waktu yang sama. Ulang dan ulang benda yang sama. Merasakan kegembiraan dan kesakitan yang sama berulang kali. Aku hidup tapi, roh bagaikan tiada. Berkelakuan seperti robot tanpa bersusah payah untuk berfikir sendiri. Aku mengikuti sahaja skrip yang tertulis pada masa lalu. Ikut dan terus ikut tanpa membantah.

Namun, kekerapan berada dalam lingkungan rasa yang sama membuatkan aku ingin membebaskan diriku daripada rasa ini. Aku…biarkan aku!

Bum! Bunyi hingar-bingar menyedarkan aku kenyataan sebenar.

Bab 1: Mulai sedar

Kaaaacakkkk! Cawan berisi latte jatuh berderai ke lantai dan pecah. Aku tidak tahu mengapa aku terjatuhkannya. Apakah aku sengaja atau tidak? Tadinya, makin ada imbasan lalu sepertinya perkara ini prnah berlaku. Aku berkhayal? Aku sedar tapi tidak mampu untuk mengawal perbuatanku.

Berderu datang seorang pekerja cafe tempat aku minum itu membawa peralatan membersihkan serpihan kaca itu. Mengapa mereka datang tanpa aku seru? Mengapa aku tidak dimarahi pula? Argh, apakah orang bersalah sudah tidak lagi akan dipersalahkan. Apakah dunia sudah terbalik?

Aku lihat muka orang itu takut-takut sepertinya aku ini singa kelaparan mencari mangsa. Pelanggan lain pun begitu, apakah aku ini manusia berbahaya? Tadinya, cafe itu nyaman dengan dendangan lagu klasik yang menyenangkan jiwa. Kini, ibaratnya lagu itu sudah tidak berkesan lagi.

Aku cuba bangun…niatku hanya untuk membantu. Aku buntu, kerana di saat aku mahu menghulurkan tangan membantu, wanita yang membersihkan itu makin laju mempercepatkan kerjanya. Akhirnya, aku termangu separa duduk. Dia sudah siap membersihkannya. 

Aku memerhati sekeliling, semua memandangku. Saat itu, aku rasa bagai ada perasaan angkuh menyerap dalam diri. Mengapa aku angkuh? Tiba-tiba, aku seperti mahu mengherdik mereka yang memandangku. Aku rasa mereka memandang sinis dan rendah akanku. Aku benci perasaan itu!

Tingggg! Jam di dinding berbunyi menandakan sudah pukul 12:00 tengahari tepat! Segala yang aku rasa tadi terus hilang bagai angin lalu! Aku tiba-tiba berasa pening. Ya, pening seperti bumi di sekelilingku berputar dengan laju dan aku tidak mampu untuk mengawal keseimbangan badanku. Aku mahu pengsan dan mahu muntah!

Sejurus itu, aku berlari keluar dari cafe di samping masing-masing terpinga-pinga melihat keadaanku. Aku lihat sebelum keluar tadi, pengurus cafe itu mahu membantuku, aku tepis. Mengapa tiba-tiba aku lihat selepas itu masing-masing ketawa berdekah-dekah mengejekku! Argh, aku benci dengan keadaan ini! Tolong keluarkan aku dari sini!

Aku berlari sepantas mungkin tanpa mempedulikan beberapa kenderaan membunyikan hon bertalu-talu. Apa aku peduli dengan dunia ini! Aku yang mengatur langkahku sendiri, usah larang!

Aku akhirnya tiba di laluan melintas kaki, semuanya kalut melihatkanku terus sahaja berlari tanpa berhenti walaupun ketika itu lampu merah. Aku tahu, cahaya lampu itu tepat menyuluh mukaku. Aku tak mampu menahan langkahku. Aku tahu…seterusnya.

****************************************

Aku…masih hidup? Apakah tadi? Aku bagaikan gila dan dilanggar?

Tinggg! Jam di dinding berbunyi kuat sampaikan aku terkejut.

Nanti dulu, aku dalam pakaian pekerja cafe? Aku memegang baju untuk pastikan sama ada aku sedang bermimpi atau apa.     Ia nyata. Aku cubit tangan, ia juga sakit! Ini nyata!

Kaaaacaaak! Aku dengar bunyi kaca berkecai. 

“Dia buat lagi,” Zahim mengomel semasa sedang membru biji kopi.

“Mel, macam biasa,” tiba-tiba Zahim memandangku dan memberi arahan.

Automatik aku menggangguk walaupun aku tidak pasti dengan tindakanku ini. Aku seperti boneka kerana segala pergerakanku, bukan yang aku rancang! Aku cuba tahan diriku, tidak berjaya. Ya, aku dikawal!

Aku sudah memegang segala peralatan untuk membersih. Setibanya aku di situ, aku automatik melutut untuk membersihkan pecahan kaca itu. Aku melutut di sebelah perempuan muda yang berpakaian mewah. Aku lihat mukannya angkuh dan…aku seperti pernah melihatnya.

Di saat aku sedang memegang serpihan kaca, dapat aku rasa tulang belikatku seperti dipijak sesuatu. Aku cuba mendongak dan aku lihat dia lagi mengeraskan tindakannya.

“Apa yang kau buat…kau akan dapat balasan…sama ada cepat atau lambat. Seumur hidup kau…merana!” Perempuan itu terus mencekak leherku sehingga aku dapat melihat wajahnya. Aku sendiri? Keliru!

“Usah berpura-pura lupa dengan apa yang kau buat!” Serentak dengan tolakan dia ke belakang, aku seprtinya sedang disedut lohong hitam. Aku menjerit kuat sebelum aku rasa kepalaku terhantuk kuat ke sesuatu permukaan. Terang, silau!

“Panggil ambulans!” Aku terdengar suara seseorang. Aku sempat memandang sekeliling, ada yang mengelilingi aku. 

“Taraf manusia itu sama! Kau sahaja yang berhati busuk dengan kebahagian orang lain!” Aku mengerling ke sisi kanan, ada seseorang memakai baju serba merah membisik sesuatu padaku. Aku tahu, itu seprti bayangan aku sendiri. Pakaiannya juga sama seperti aku ketika ini.

     **************************

Aku rasa…sudah lama aku berlari-lari mencari jalan keluar. Aku gagal! Dan bila gagal, aku pasti menangis! Aku takut dengan berasa keseorangan berasa gelap! Aku memanggil papa dan mama! Semuanya hanya mampu berlari tinggalkan aku keseorangan terkapai-kapai.

Heeeerkkkk! Aku bagai ditarik dan aku dapat melihat cahaya. Cahaya menyilaukan mata. Serba putih.

“Kau bagai mati hidup semula…kau fikir hidup hanya untuk menyusahkan orang lain?” Aku sendiri membisikkan ayat itu pada diriku sendiri.

Aku lihat papa dan mama menghampiriku dan tidak putus-putus bersyukur.

“Sudah….2 jam Mel pengsan,” aku mengerutkan dahi. Aku rasa aku berlama-lama dalam dunia yang aku tidak kenali.

Aku membiarkan papa dan mama berkata-kata kerana aku tidak mempunyai kudrat.

**********************************

Pagi.,Aku menghirup udara segar di taman yang berada di hospital itu. Aku menggunakan tongkat untuk menampung berat badanku. Kakiku tidak mampu untuk bergerak lancar kerana kemalangan semalam. 

Semalam, ketika aku hanya menutup mata, aku mendengar mama dan papa kata keadaan aku makin teruk semenjak kemalangan pertama. Aku pun tidak pasti sudah berapa kali aku kemalangan. Aku rasa, ada memori yang tertinggal.

Arghhh…ada yang melanggar aku dari sisi. Aku terjatuh dan kebetulan tempat yang sakit itu terkena permukaan tanah dan menambahkan rasa sakit itu.

Tiada sesiapa…

“Cik, okey?” Jururawat bertugas menghampiriku. Dia membantuku.

Beberapa saat, aku tiba-tiba mengalami sakit kepala yang amat sangat. Aku…seperti melihat imbasan lalu.

************************************

“Manusia angkuh terus bersikap angkuh. Adakah kau layak digelar manusia?” Balapan cahaya menyilaukan mataku. Hanya mampu melihat satu sosok manusia berpakaian serba hitam dan aku tidak ternampakkan wajahnya.

“Dahulu aku juga di tempat kau. Disanjung dan dihormati…” dia terjeda berbicara sebelum ketawa terbahak-bahak.

“Disanjung dalam kepuraan. Aku makin leka,” selanjur itu dia terus hilang bagaikan entiti hitam meluncur laju.

Bayangan hitam terus menerpa aku sehingga aku terjatuh ke belakang dan terbaring. Kepalaku terhentak dan kedengaran bunyi berdesing membingitkan kepalaku.

*************************************

“Tentu…cik membuat keputusan yang bijak. Saya tidak rasa perkara ini salah,” suara itu muncul dalam kepalaku.

Muzik klasik Perancis menjengah telingaku. Aku masih di kafe ini?

Di hadapanku ada seorang gadis berambut perang dan memakai pakaian pekerja di kafe itu. Aku menggeleng-geleng kepala dan cuba mencubit pipi sendiri. Aduh, sakit!

“Cik..ok?” Dia cuba menegahku daripada terus menerus cubit diri sendiri.

“Saya di mana?” Aku bingung dan aku cuba melihat kalender yang terpampang di satu sudut di situ. Tanggal 20 April 2019!

“Ha? Tentu sekali di kafe cik sendiri…”

“Barangkali cik penat dengan penerbagan tadi. Apa kata cik minum dahulu, Saya bawakan,” aku tidak sempat menghalang gadis itu daripada meneruskan perbuatannya.

“Penat? Penerbangan? Aku tak faham!” Aku memegang tengkuk sendiri.

“Apa yang kau tak faham?” Pipiku bagai ditampar angin laju secara kasar diikuti suara itu.

“Kau sedang sengaja melupakan sesuatu,”

“Sesuatu apa? Sesuatu…” aku terhenti berbicara dengan suara itu apabila bahuku dipegang gadis tadi.

“Cik…cik ok ke ni?” Dia meletakkan secawan latte di hadapanku…

Bab 2: Lena yang sudah lama hilang

Buih-buih udara keluar dari rongga pernafasanku. Bagaikan sedang bernafas dalam air. Ya, aku sedang berada dalam air tidak berdasar. Seluruhnya biru seakan hijau lumut juga. 

Aku melihat tanganku yang seakan menggapai sesuatu. Mengapa?

Kesedaran yang tersisa nampaknya tidak bertahan lama kerana oksigen yang semakin terhad. Nampaknya, pandangan mata semakin redup. Ngantuk yang teramat menguasai. Biar aku tidur…sebentar.

****************************************

“Begitu mudah kau menyerah kalah?” Suara sinis membisik di cuping telinga. Tawanya yang kuat membingitkankan telinga.

Walau mata tertutup dan kudrat yang terhad, suara itu masih dapatku dengari. Aku melawan rasa lemah menguasai diri. Tubuhku meronta-ronta dalam air. Entah mengapa mataku terbuka pantas dan seperti ada tangan yang menarikku ke atas sehingga aku boleh bernafas di permukaan.

****************************************

“Kalau takut untuk gagal, mengapa harus dilalui jalan itu?” Hanya suara hatiku kedengaran.

Aneh. Apa yang aku rasakan saat ini. Bagai aku terperangkap dalam relung waktu yang asing. Aku berdiri di tengah-tengah lintasan jalan. Manusia sekeliling berjalan dengan sangat pantas tanpa mempedulikan aku. Sungguh, aku bagai tidak wujud.

“Usah diseksa hati kau lagi. Itu sia-sia,” mengapa aku merasakan seorang yang sangat misteri itu berhenti di sebelah aku hanya untuk mengatakan ini. 

“Percayalah…hidup tidak mampu untuk menyenangkan semua orang,” dan seseorang itu hilang bagai deruan angin kencang. Putih, aku melihat ia pergi menghilang di balik awan biru yang bersih.

“Ya, aku perlu belajar untuk melupakan,” spontan keluar dari bibirku.

Perlahan-lahan aku merasakan aku ini jatuh terlentang dan berbaring di atas permukaan yang lembut. Terasa nyaman yang sudah lama tidakku rasakan. 

Putih…segalanya putih. Ruangan putih tanpa warna lain. Aku melihat seperti bulu-bulu ayam berwarna putih berterbangan. Ya, ia mengasyikkan. Aku ingin menggapainya.

Mungkin kerana terasa penat dengan peredaran ruang, aku mulai mengantuk yang teramat. Lenaku yang sudah lama hilang kini kembali.

“Selamat malam…permaisuri,” dalam lena, aku mendengar suara seseorang itu tadi. 

Aku yang sudah tidak sedar diri…tersenyum tanpa diminta. Dalam hati, aku berdoa dan berharap segalanya menjadi indah apabila aku mendapat kesedaran.

Bab 3: Bertemu diriku

“Lara sungguh hati kau,” sebaik sahaja mataku terbuka, aku mendengar suara itu. Deria pendengaran menangkap bunyi violin yang sangat sayu sekali.

“Sejauh mana engkau mahu hanyut?” Seseorang yang bertopi Inggeris menutupi wajahnya sedang berbicara kepadaku sebelum menghirup secawan kopi yang masih berasap.

Dia duduk di hadapanku. Bau kopi yang menyenangkan ditambah dengan bau cerut. Mungkin seseorang itu yang menghisapnya kerana aku melihat sebatang cerut di bekas habuk rokok sedang berasap di atas meja tempatku ini.

Aku terkedu kerana aku juga sedang memegang secawan kopi dan seakan-akan mahu menghirupnya. Aku sendiri berbusana seperti wanita inggeris bangsawan. Erti kata lain, aku tidak merasa perbuatan itu aku yang mengawalnya. Semacam kuat ghaib meningkah aku bertindak demikian.

“Mengapa aku…di sini?” Kaget sekali aku. 

Aku meletakkan cawan itu dan memegang topi di kepala dengan perasaan tidak percaya.

“Engkau mempunyai jawapannya. Namun, ada lopong pada jawapan itu. Mungkin sengaja untuk dibiarkan kosong,” kedengaran dia ketawa mengejek pada hujungnya.

“Seronok apabila dunia yang kita inginkan itu dapat diwujudkan.”

Aku kehilangan kata-kata dengan percakapannya itu. Tanganku ingin mencapai bahunya namun, segalanya menjadi serpihan pixel sehingga aku terdiri menyaksikan suasana berubah secara drastik.

“Hati-hati dengan imaginasi,” suara mengejut yang muncul dan tolakan seseorang dari arah belakang sehingga aku membeliakkan mata.

Cahaya itu silau. Aku ingin menjerit namun tiada suara yang keluar. Kesakitan menjalar di seluruh tubuh. 

Aneh. Aku seperti pernah merasakan itu semua.

****************************************

“Lepaskan dia, Mel,” suara  itu, suara yang aku rasakan paling dekat dengan aku.

“Tiada guna untuk kau menangguhkan perpisahan,” suara itu seperti memujukku.

“Usah diseksa ragamu. Biarkan jiwamu bebas. Biarkan perkara itu berlalu.”

Sudah lama diriku merasakan terperangkap dalam kegelapan yang tidak berpenghujung. Sendirian memeluk tubuh tanpa usaha keluar dari kegelapan. 

Kekusutan melanda membuatkan aku mencekak rambut sendiri dengan kuat.

“Tak! Aku tak nak!” Sekuat hati aku menjerit.

“Jika begitu…kau akan berada dalam kegelapan untuk jangka masa yang lama,” perlahan-lahan suara itu mendatar kemudian hilang. Sunyi.

****************************************

Hati sekeping ini berkecai tidak bersisa. Jiwa wanitaku tersentap. Air mata yang sudah lama ditahan mengalir dengan sangat laju. Sememangnya aku teresak-esak. Mungkin sudah lama aku menyimpan segala rasa dalam hati.

Daun-daun berguguran ke tanah. Kulihat langit biru yang bersih. Petang yang nyaman sambil diselangi dengan suara burung berkicauan. Memang tenang namun perasaan yang sangat mendalam sedihnya tidak mampu ditenangkan dengan suasana itu.

Sukarnya untuk aku menerima hakikat. Insan yang ku sayang dan membalas cintaku membalasnya dengan pengkhianatan. Segala yang ku korbankan untuknya bagaikan tiada harga.

“Sedih sekali…apabila dikhianati. Jiwa menjadi kosong. Masa sesuai untuk sesuatu yang jahat menakluk,” kedengaran garau sekali suara itu dari arah belakang membuatkan aku memaling ke belakang.

Aku menyeka air mata. Tentu aku kaget. Ada yang mendatang ketika aku sedang bersendirian sedih. Jantung berdegup kencang. Janganlah sesuatu yang mistik dan bersifat ghaib yang mendatang.

“Sengaja aku datang menjenguk,” terasa bagai disebelah telinga sahaja dia berbisik.

Terasa ingin pengsan aku mendengarnya. Makin tidak keruan aku.

“Jangan risau…kau yang suka mengulang dan mengulang!” Suara itu bergaung dan aku terasa dunia seakan berpusing. 

Suasana yang damai menjadi berpusing sehingga aku pening.

****************************************

Aku tercunggap-cunggap seperti baru keluar dari dalam air. Sebanyak mungkin aku inginkan oksigen masuk ke dalam rongga pernafasan.

“Eh, kenapa kau?” Zahim yang sedang sibuk mengambil pesanan pelanggan terperanjat dengan kelakuanku. 

Dia segera menerpa laju dan mendapatku yang berada di meja berhampiran.

“Tertidur lagi waktu petang. Dah asar ke belum?” Ayat dia membuatkan aku bingung.

“Aku…siapa?” Entahlah kenapa aku bertanya soalan itu.

“Apa maksud kau?” Zahim menyangka aku bergurau. Dia ketawa agak kuat.

Aku tidak berpuas hati dengan kata-kata Zahim. Aku mendapatkan cermin besar yang terletak di kafe itu. Serata muka aku pegang. Aku macam rasa itu bukan jasad aku. Terperangkap dalam tubuh orang lain.

“Kau dah kenapa ya? Pelik. Buang tabiat?” Zahim sudah berada disebelah.

Aku tidak mempedulikan kata-kata Zahim. Aku mencebik dan terus keluar dari kafe dan hanya mengikuti naluri hati. Tiada arah tetap.

Bab 4: Sedikit demi sedikit

Mungkin aku memang mengikut amarah dalam hati kerana soalan aku tidak dijawab oleh Zahim tadi. Separuh langkah, aku semacam menyesal keluar dari kafe. Kebingungan menguasai. Tidak pasti sama ada aku sedang berada dalam realiti. Semuanya bercampur sehingga aku tidak pasti sama ada aku sedang sedar atau berada dalam fantasi.

Kebingungan membuatkan aku mencekak rambut sambil perlahan-lahan melutut. Biar perit mentari menyirami tubuh ini. Aku tidak peduli.

“Permaisuri sudah bangun?” Tiba-tiba suara bergaung itu muncul membuatkan aku mendongak langit dan terpusing-pusing mencari punca suara.

“Siapa kau?” Kali ini memang amarah semakin memuncak.

“Permaisuri…biarkan jiwamu bebas,” suaranya lembut.

Serentak itu, kelopak mawar hitam turun dari langit dengan banyaknya. Aku menadah kelopak mawar hitam itu. Apakah petanda itu?

Bagai direnjat arus elektrik. Aku melihat bayangan semasa menadah kelopak mawar hitam.

****************************************

“Apa kau buat ni? Kau dah gila?” Seseorang lelaki menggoncang kuat tubuhku. 

Aku tidak memberi reaksi apa akan tetapi air mata mengalir laju ke pipi. Aku menyeka dan pelik dengan kejadian itu. Mengapa aku merasa perasaan sedih mendalam.

Aku mendengar bunyi hon kereta bertalu-talu. Baru aku perasan aku berada di tengah-tengah jalan raya.

“Kenapa dikenang lagi orang yang sudah mengecewakan kau? Kau bodoh ke apa?” Suaranya kedengaran sangat marah.

“Aku terlalu menyayanginya,” aku tidak dapat mengawal bicara yang keluar. Aku juga tidak mampu menahan sebak di hati. Mengapa ya aku berkelakuan sedemikian? Aku keliru. Benarkah itu pernah berlaku pada aku?

“Buat apa kau berkorban untuk orang yang hanya mengambil kesempatan ke atas kau? Buka mata hati kau!” Aku merasakan cengkaman kukunya yang semakin kuat semasa menggoncang tubuhku. Mungkin dia geram.

“Aku…” aku tidak sempat membalas. Namun, perasaan sedih mendalam tetap terasa.

Lintasan cahaya melenyapkan suasana itu. Aku terpana dalam kesunyian suasana. Tubuhku sikit demi sedikit jatuh terbaring di atas timbunan kelopak mawar hitam tadi. Tanganku seakan mahu menggapai langit biru.

“Permaisuri…tidurlah,” suara itu kedengaran.

Seperti ada yang mendodoi aku untuk tidur. Lena. Aku terlalu lena. Ya, lena yang sudah hilang.  

   ****************************************

“Siapa kau?” Soal aku kepada seorang perempuan yang membelakangiku. 

Ketika itu, aku merasakan dalam ruangan gelap. Namun, tempat aku dan dia disirami cahaya spotlight. Lagak semacam petunjukan pentas. Seperti, kami berdua itu sebagai pelakon.

“Jiwamu begitu tergoncang,” ringkas ayatnya.

“Benarkah kau tidak mengenali aku?” Katanya lagi.

“Aku tak ada masa untuk berteka-teki,” geramnya dengan semua yang sedang berlaku padaku ketika ini.

“Permainan ini…sudah tidak mampu untuk dikawal,” misteri ayatnya itu.

 Aku cuba mendekat namun, aku merasakan ada penghalang sehingga aku terdorong ke belakang.

 “Apa semua ni?” Marah aku sambil mengetuk penghalang tidak kelihatan itu.

“Jika kau memahami apa yang berlaku. Pasti kau akan menemui jawapannya,” dia ghaib meninggalkan wangian yang mendamaikan deria bauku.

“Aku tak faham?” Kali ni suaraku perlahan.

Ketukan terakhir pada penghalang itu membuatkan ia bertukar menjadi pixel. Diriku juga begitu. Itu kejadian yang mistik. Aku menjerit sehingga suaraku hilang. Apakah yang sedang berlaku?

Bab 5: Malam yang dingin

Malam. Dingin rasanya sehingga mencengkam ke tulang. Aku menggosok-gosok tanganku dengan harapan haba memanaskan diriku saat ini. Salahku sendiri kerana keluar rumah pada waktu malam dan memakai baju t-shirt lengan pendek. Aku tidak boleh melelapkan mata. Pelbagai cara aku lakukan supaya mata ini pejam dan minda ini dapat berehat daripada berfikir. Namun, tidak berjaya. Oleh itu, aku menjadi kutu rayau dan menuruti langkah kakiku tanpa tujuan tempat yang jelas.

Akhirnya, aku tiba di atas bukit yang terletak berhampiran dengan rumahku. Gigihnya aku memanjat tangga bukit yang tersedia. Tak adalah tinggi mana. 

Terasa tenang dan masalah terbeban di pundak hilang seketika menyaksikan pemandangan malam dari atas bukit. Lampu-lampu dari kediaman rumah setempat yang menyala, kelip-kelip yang berterbangan dengan cahaya cantiknya dan bulan penuh mengambang yang mengeluarkan cahaya terang.

Ya, di sini sunyi dan hanya kedengaran suara malam seperti cengkerik yang berbunyi. Namun, itu tidak lama kerana nada dering dari telefon pintar berbunyi.

“Tak boleh tidur lagi?” Kedengaran suara Zahim apabila aku menjawab panggilan itu.

“Mana kau tahu?” Tanya aku dengan nada suara yang cemas.

“Tu…langsir berterbangan ditiup angin malam,” katanya. Aku dapat membayangkan Zahim sedang berada di luar rumah ketika menelefon aku sambil memerhati suasana bilik. Tentu dia tahu jika aku tidak boleh tidur malam, aku akan membuka tingkap seluas-luasnya. Tapi, apa dia buat di situ pada waktu begini?

“Mengendap,” aku menjawab dengan tanpa emosi yang jelas. 

“Tidak…tapi, aku boleh memahami kau.”

“Jika begitu, jangan menyibuk,” aku berniat untuk mengakhiri panggilan.

“Aku boleh membantu untuk dapatkan lena yang sudah lama hilang,” ayatnya itu menarik perhatianku.

“Kau tahukan panggung terbiar itu. Ada sesuatu yang aku ingin tunjukkan,” itu katanya sebelum dia sendiri yang meletakkan panggilan dan membuatkan aku terpaku.

“Hadapi kenyataan,” di saat aku merenung rembulan ia seakan berbicara kepadaku. Itu membuatkan aku termenung sejenak.

Seketika itu, aku mengambil keputusan untuk pergi dari situ.

Bab 6: Sukar

Jika dilihat pada fizikalnya, bangunan itu kelihatan seperti bangunan tinggal mahupun terbengkalai.  Pada saat ini boleh kedengaran bunyi burung hantu yang menyambut kedatanganku ke mari. Daun-daun kering berguguran di tanah berbunyi apabila aku berjalan di atasnya. Aku hanya mengagak.

Krek. Bunyi pintu apabila dibuka. Dari cahaya lampu telefon pintar aku dapat melihat keadaan bilik sebuah pawangam kecil yang pastinya sangat berhabuk dan kerosakan di sana sini. 

Aku melangkah sehingga berada di tempat duduk paling depan. Naluriku menyuruhku untuk duduk. Mataku memandang layar putih yang besar. 

Aku menghela nafas dan sejenak memejam mata kerana kelelahan berjalan tadi.

“Masih ingat lagi rupanya,” Zahim yang memakai hoodie menutupi kepala melintas di hadapan. Entah bila dia tiba kerana tiada apa-apa bunyi menandakan kedatangan.

Zahim duduk selang dua kerusi dariku. Di sebalik kesamaran cahaya dari telefon pintar, aku melihat dia merenung skrin putih sama seperti aku tadi.

“Kita yang menentukan sama ada kita menjadi pemenang atau pencundang,” dia merenungku dan membuatkanku terkedu.

“Apa…” aku tidak sempat untuk bercakap kerana bunyi kelawar mencelah. Bunyinya sangat kuat sehingga aku rasakan ia mahu memecahkan gegendang telinga. Aku terpaksa menekup telinga

Zahim seolah-olah tidak nampak aku yang sedang sengsara. Dia menyeluk poket dan mengeluarkan sesuatu. Dia menekan sesuatu itu sehingga cahaya projektor bernyala dan menarikku untuk melihat skrin putih.

Aku menekup telinga dengan lagi kuat kerana bunyi bingit yang merimaskan menghiasi deria pendengaran. Aku menjerit sekuat hati kerana aku dapat melihat bayangan diriku sedang berdarah di keseluruhan badan. Aku merasakan hatiku bagai dirobek objek tajam sehingga darah keluar darinya dan membasahi diriku. Aku lemas dalam dalam sendiri.

Aku hampir tidak boleh bernafas kerana aku makin tenggalam ke dalam darahku sendiri. Aku sudah tidak terdaya untuk menekup telinga. Aku mencuba untuk menggapai permukaan dengan tanganku walaupun aku tidak melihat sesiapa. Namun, hanya seketika kerana aku melihat Zahim memerhati dengan pandangan yang kosong. Dia tidak menolong sehingga aku ini tenggelam sepenuhnya.

*********************************

“Argh,” sakit kepala menguasai sebelum aku dapat membuka mata. Silau membuatkan aku sukar membuka mata. 

Aku ingin mengurut kepala yang pening namun, baru aku menyedari aku sedang memegang sekuntum bunga mawar merah. Belum sempat menghadam aku sedang berada di mana, aku mendengar suara menegur.

“Mimpi buruk lagi?” Itu membuatkan aku berkerut dahi walaupun masih tidak dapat menangkap maksudnya.

Aku tidak mempunyai kudrat untuk membalas. Tapi, itu tidak menghalangku untuk terperanjat kerana aku mendapati diriku di sebuah bilik tidur serba putih. Ya, hanya warna putih yang dapat dilihat dan tiada warna lain. Langsir putih berkibar-kibar ditiup angin angin. 

“Rehatlah,” kali ini aku melihat Zahim yang sedang merenung pemandangan luar bilik. Kemudian, dia memandangku.

Kata-katanya menyebabkan aku tidak jadi untuk bangun dari baring. Aku turut memandang keluar. Aku melihat awan biru. Cuaca mulai panas. 

Entah mengapa aku mahu menangis teresak-esak ketika ini. Air mata mengalir di pipi. Aku merasakan seperti ada yang tidak kena dalam diriku. Hatiku berasa sangat sakit dan ada beban yang belum terlepas. Apakah itu? Kesukaran bernafas kerana tersedu-sedu dan tenggalam dalam perasaan sendiri.

“Lepaskanlah,” kata Zahim sendirian.

Post a Comment

0 Comments